Friday, 22 March 2013

Quality Learning (Value diversity) Membentuk Sekolah Berkesan


Adakah semua pengetua/guru mempunyai kepelbagaian nilai dalam melaksanakan tangunggjawab mereka di sekolah? Saya pasti jawapannya adalah sama sekali tidak ada. Manusia mempunyai pelbagai sikap, persepsi dan juga nila. Ada pengarah dan guru yang sentiasa positif dalam semua aspek, ada yang bercampur-campur diantara sikap positif dan negatif. Bahkan terdapat juga guru yang sentiasa bersikap dan berpandangan negatif dan suka menentang apa sahaja pembaharuan yang ingin dilaksanakan di sekolah.

Sekolah adalah tempat menimba ilmu pengetahuan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengarah dan guru sebagai insan yang menyampaikan ilmu pengetahuan, mereka seharusnya sentiasa mengamalkan ciri-ciri kepelbagaian nilai. Diantaranya kepelbagaian nilai yang mesti diamalkan oleh warga pendidik ialah

 1.         Hormat-menghormati antara guru sesama guru dan antara guru dengan pelajar
2.         Boleh menerima cadangan secara terbuka dan terhormat. Sama ada dari
pihak pengurusan, guru dan pelajar.
3.         Boleh menerima dan berhubung dengan idea orang lain.
4.         Boleh menerima sesuatu perkara tanpa ada sebarang syarat.
5.         Boleh mengambil kira semua benda.
6.         Menerima semua yang ada disekeliling kita.
7.         Hendaklah sentiasa menghargai individu lain termasuk pelajar.
8.         Mengadakan perkongsian kepercayaan dan pengalaman dengan orang
lain.
9.         Membangunkan sikap bertolak ansur dalam setiap pendekatan.



Saya pasti apabila guru mengamalkan amalan di atas dengan ikhlas dan jujur, kita mampu menjadi pendidik yang berkualiti, disenangi ramai dan diberkati Allah.

Bagaimana pengetua memimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadi sekolah berkesan


Dengan mengandaikan sekolah ini adalah kepunyaan sendiri. Segala dana dan perbelanjaan termasuk pembayaran gaji guru dan kakitangan juga dibiayai oleh saya sendiri.
 
Dalam situasi ini saya berasakan Kepimpinan Agihan (Distributed Leadership) adalah yang paling sesuai. Kepimpinan ini merupakan satu kepimpinan permuafakatan dan berkongsi kuasa serta mempercayai antara satu sama lain. Kepimpinan ini dapat melahirkan ramai individu yang professional dan pakar dalam bidang masing-masing serta penuh integriti dalam melaksanakan tugas. Guru yang hebat akan menghasilkan pelajar yang juga hebat serta membentuk sekolah berkesan.
 
Umumnya, kita mengetahui bahawa untuk mencapai kecemerlangan di mana-mana institusi pendidikan atau sekolah, seseorang pemimpin tidak mampu bekerja secara bersendirian. Selaku Pengetua penerapan kepimpina Agihan di dalam sekolah diharap dapat memudahkan dan melancarkan lagi urusan pentadbiran dan kewangan sekolah. Fayol (1949) menyenaraikan beberapa aspek pengurusan utama iaitu perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan dan pengawalan.
Kuasa membuat keputusan diagihkan dan dikongsi bersama diantara pengetua, timbalan pengetua, ketua jabatan, ketua program dan ketua unit. Mereka ini dipertanggungjawabkan menguruskan hal-hal yang berkaitan kurikulum dalam bidang kuasa masing-masing dan mempunyai beberapa staf seliaan dibawahnya.
Selain itu pengetua yang memberi kepercayaan kepada staf terhadap tugas yang diberi dengan membuat penyeliaan, penyelarasan, pengawalan dan penilaian bagi membolehkan penambaikan dibuat untuk mencapai tahap sekolah berkesan. Staf yang berintegriti dan beretika tinggi akan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Hasil dari kepimpinan ini juga ia dapat melahirkan staf yang pakar dalam bidang masing-masing serta dapat membuat keputusan yang baik untuk sekolah
 
Bagi pihak saya sebagai Pengetua, saya tidak boleh mengawal setiap keputusan yang dibuat mengikut kehendak sendiri. Pengetua harus memimpin dan menerima keputusan mereka selagi ianya tidak menyalahi polisi dan dasar sekolah dan diyakini boleh membawa kebaikan kepada sekolah saya.
 
 

Thursday, 14 March 2013

Institusi pendidikan (sekolah) berkesan


Memang benar pelajar IKM adalah pelajar yang lemah dari sudut akademiknya. Namun kebanyakan mereka sangat mulia dari sudut sikap dan tingkah laku. Mengajar mereka di dalam kelas memerlukan kesabaran yang tinggi. Kesabaran yang tinggi dalam menerangkan sesuatu topic pengajaran agar mereka benar-benar faham. Mereka ini kebanyakan adalah pelajar yang mendengar kata. Keadaan ini berbeza ketika mereka berada di bangku sekolah. Seringkali mereka mengakui mereka merupaka pelajar nakal dan bermasalah di sekolah, namun usia telah mematangkan mereka. Guru tidak perlu memaksa mereka untuk melaksanakan tugasan yang diberi. Cukup dengan arahan yang jelas, mereka akan melaksanakan tugasan atau projek dengan sebaiknya. Begitu juga sekiranya guru meminta pertolongan, mereka sentiasa menunjukkan sikap ringan tulang dan membantu dengan bersungguh-sungguh. Pernah satu ketika, pihak IKM menjemput seorang guru dari Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar. Guru tersebut(penceramah) sungguh terkejut dengan sikap pelajar ikm di mana pelajar datang ke dewan secara teratur dan segera apabila mendengar pengumuman yang meminta mereka hadir ke dewan. Malahan tiada seorang guru pun yang menjerit atau mengarah-mengarah pelajar. Pelajar juga tidak membuat bising di dalam dewan. Guru Pencemarah ini menyatakan situasi ini sangat berbeza di sekolah, di mana guru terpaksa mengawal pergerakan pelajar. Penceramah juga menyataka bahawa selama ini beliau menganggap bahawa pelajar IKM adalah pelajar yang bermasalah. Kejadian pada hari tersebut telah mengubah persepsinya terhadap IKM. Namun saya tidak nafikan masih terdapat pelajar yang mempunyai masalah disiplin, walaubagaimanapun bilangannya mungkin lebih sedikit jika dibandingkan dengan Sekolah Menengah Harian. Boleh dikatakan bahawa menguruskan pelajar IKM adalah jauh lebih mudah dari menguruskan pelajar remaja di sekolah menengah. Seperti yang telah dikata bahawa usia mematangkan kita. Pelajar yang dulu nakal telah berubah menjadi lebih berbudi bahasa dan sedang berusaha untuk memajukan diri sendiri.

Sesungguhnya ramai pelajar IKM di luar sana telah Berjaya dengan mengusahakan perniagaan dan ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan. Cuma perjalanan menuntut ilmu mereka lebih panjang berbeza dengan pelajar MRSM yang lebih cepat menamatkan pelajaran mereka. walaubagaimanapun panjang atau pendek perjalanan menuntut ilmu itu, apa yang lebih penting adalah menjadi modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Jadi boleh disimpulkan bahawa IKM juga merupakan sekolah berkesan kerana pelajar yang memohon untuk kemasukan ke IKM adalah merupakan pelajar yang lemah pada peringkat menengah, namun apabila telah menamatkan pengajian di IKM mereka berjaya menempatkan diri institusi pengajian tinggi dan malahan ada yang berjaya menjadi usahawan.

Monday, 11 March 2013

TAK KENAL MAKA TAK CINTA


MENGENALI PELAJAR IKM.

 emm entry kali ini kita lari dari kepimpinan sekejap yek... meh kita kenal pelajar IKM

Di kalangan guru-guru terutama di MARA, apabila disebut bertugas di IKM pelbagai persepsi muncul di minda masing-masing. Kebanyakan persepsi tersebut adalah negatif. Sering kedengaran rakan-rakan yang mengajar di MRSM, KM atau KPM bertanya “ hiss tak bestnya, mengajar di IKM sebab pelajar tidak pandai “ dan ada juga yang bertanya “ tension tak mengajar pelajar yang nakal? Mesti mereka mempunyai masalah disiplin yang teruk”. Apabila berhadapaan dengan guru yang bermentaliti sebegini, saya hanya tersenyum dan menjawab bahawa mereka pelajar IKM tidaklah seteruk yang anda bayangkan. Walaubagaimanapun saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka tidak pernah mengajar di IKM. Pandangan dan persepsi pasti berbeza apabila seseorang guru itu pernah mempunyai pengalaman mengajar di Institut Pendidikan MARA yang berlainan, contohnya guru terlebih dahulu mengajar di MRSM sebelum ditukarkan ke IKM dan begitu juga sebaliknya.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman mengenai pelajar IKM yang rata-rata rakan-rakan dalam kelas ini tidak ketahuinya. Seperti sedia maklum pelajar IKM terdiri dari warganegara yang berumur 18 tahun ke atas. Mungkin ramai beranggapan semua pelajar adalah berusia 18 hingga 20 tahun. Anggapan ini adalah salah. Sebenarnya IKM menerima pelajar yang berusia 18- 40 tahun. Terdapat pelbagai lingkurang umur dan status perkahwinan di dalam kelas peringkat sijil ini. Malahan kakitangan kerajaan terutamanya dari pasukan angkatan tentera, polis, bomba dan penjara turut mengikuti program yang diadakan di IKM. Ia bertujuan untuk memberi pengalaman dan menambah pengetahuan kepada penjawat awam bagi persediaan setelah berpencen kelak. Kakitangan kerajaan ini majoritinya berumur melebihi 35 tahun dan sudah berkeluarga. Di sini kami sebagai guru perlu mahir dalam komunikasi kerana pelajar yang berada di hadapan kami ini bukan sahaja remaja yang terdiri daripada pelajar lemah pencapaian akademik di zaman sekolahnya tetapi juga kaum bapa dan kaum ibu yang turut serta menimba ilmu. Bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, guru IKM bukan sahaja perlu mendidik remaja tetapi juga perlu mengajar orang dewasa yang usianya melebihi umur guru itu sendiri. Di sini lah terletaknya kemahiran dan pengetahuan sebenar guru IKM. Semua pengalaman ini menjadi saya sebagai guru IKM lebih matang dan bijak dalam menangani sebarang urusan berkaitan pengurusan pelajar serta teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran bagi menghadapi pelajar yang ‘gifted’.

Sunday, 3 March 2013

Kepimpinan Transaksional dan Politik


Kepimpinan politik dan transaksional adalah berkait rapat. Kepimpinan transaksional adalah sebagai proses pertukaran antara kualiti kerja dengan ganjaran. Manakala kepimpinan politik adalah proses saling pengaruh dan mempengaruhi antara pemimpin dan pengikut untuk mencapai matlamat organisasi. Pertukaran atau ganjaran  ini adalah merupakan salah satu strategi politik kepada pengetua sebagai pemimpin serta guru-guru dan para pelajar. Kepimpinan traksaksional atau dipanggil juga kepimpinan ganjaran ini biasanya digunakan oleh pengetua.

Saya agak bersetuju dengan gaya kepimpinan politik dan transaksional ini. Pengetua mempengaruhi staf dengan memberi ganjaran apabila mereka melaksanakan apa yang diarahkan bagi mencapai matlamat organisasi IKM KL. Ganjaran yang ditawarkan adalah menarik dan sangat diperlukan oleh staff.‘Pertukaran’ ini memberi manfaat dan faedah kepada kedua-dua pihak samaada pengetua  mahupun staf. Ganjaran diberi dalam pelbagai kaedah dan bentuk, seperti sokongan penuh untuk kenaikan pangkat, anugerah perkhidmatan cemerlang,  penghargaan, wang, hadiah dan sokongan penuh melanjutkan pelajaran serta lain-lain. Pemberian ganjaran ini, ia akan meningkatkan komitmen staf terhadap tugas masing-masing di organisasi. Sudah tentu kedua-dua pihak samaada pengetua atau staf akan sama-sama berasa berpuashati dan gembira. Keuntungan akan diperolehi oleh kedua-dua belah pihak. Ibarat kata pepatah “ what you give, you get back”.

Kesan kepimpinan politik dan transaksional

Saya melihat kedua-dua kepimpinan ini boleh memajukan organisasi. Hubungan yang baik, saling sokong-menyokong dan memberi pengiktirafan serta penghargaan antara pengetua dan staf dapat memudahkan dan melancarkan segala aktiviti kurikulum, ko kurikulum dan segala perancangan serta agenda yang dirancang oleh pihak atasan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kesannya staf lebih bersemangat dan bermotivasi untuk memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik IKM dan pada masa yang sama juga pengarah memberikan ganjaran yang dijanjikan atau yang diperlukan oleh stafnya.

Walaubagaimanapun setiap kepimpinan pasti membawa keburukan sekiranya terdapat kepincangan dan melibatkan kepentingan peribadi di atas peluang-peluang sumber yang terbentang luas. Politik sebegini menyebabkan berlaku pertelingkahan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakan sekerja. Sebagai contoh, pengetua telah memberi ganjaran yang tidak adil dan bersikap pilih kasih terhadap kroni-kroninya. Kepada staf yang pandai bermuka-muka atau mengampu mendapat ganjaran yang hebat. Manakala staf yang tidak pandai mengampu namun sangat kompeten hanya mendapat ganjaran yang ala kadar dan tidak menetapi apa yang dijanjikan oleh pengetua. Jadi, situasi ini menyebabkan staf memberontak dan mempertikaikan tindakan pengetua. Namun mereka hanya berani memperkatakannya dibelakang pengetua sahaja. Ini kerana pengetua mengugut menjatuhkan kerjaya mereka dengan memberi penilaian yang rendah terhadap prestasi melalui SKT

 Selain itu akibat sering disogok pelbagai ganjaran, ia menyebabkan staf bekerja dengan tidak ikhlas dan sentiasa mengharapkan ganjaran. Bak kata orang “Ada ganjaran, kerja pun jalan”. Mereka tidak mengajar dengan bersungguh-sungguh sekiranya tiada ganjaran yang diberikan. Situasi ini meletakkan staf dan guru sebagai individu yang materialistik dan mementingkan diri sendiri serta tidak memiliki nilai dan integrity yang tinggi.

Cadangan saya, pengetua yang mengamalkan kepimpinan di atas haruslah bijak, berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengurusan konflik antara staf di bawah pimpinannya. Berpolitik dan memberi ganjaran haruslah kena pada tempatnya dan berlaku adil kepada semua staff. Mungkin pengetua boleh bertanya dan meminta pendapat staf mengenai ganjaran yang diingini oleh mereka. Walaubagaimanapun, perkara penting yang perlu ditekankan ialah sebagai penjawat awam khususnya kerjaya sebagai guru, mereka harus bersikap profesionalisme dan berintegriti serta ikhlas dalam melaksanakan tugas. Ganjaran merupakan satu bonus dan penghargaan kepada pekerja namun bukanlah satu kemestian.