Sunday, 3 March 2013

Kepimpinan Transaksional dan Politik


Kepimpinan politik dan transaksional adalah berkait rapat. Kepimpinan transaksional adalah sebagai proses pertukaran antara kualiti kerja dengan ganjaran. Manakala kepimpinan politik adalah proses saling pengaruh dan mempengaruhi antara pemimpin dan pengikut untuk mencapai matlamat organisasi. Pertukaran atau ganjaran  ini adalah merupakan salah satu strategi politik kepada pengetua sebagai pemimpin serta guru-guru dan para pelajar. Kepimpinan traksaksional atau dipanggil juga kepimpinan ganjaran ini biasanya digunakan oleh pengetua.

Saya agak bersetuju dengan gaya kepimpinan politik dan transaksional ini. Pengetua mempengaruhi staf dengan memberi ganjaran apabila mereka melaksanakan apa yang diarahkan bagi mencapai matlamat organisasi IKM KL. Ganjaran yang ditawarkan adalah menarik dan sangat diperlukan oleh staff.‘Pertukaran’ ini memberi manfaat dan faedah kepada kedua-dua pihak samaada pengetua  mahupun staf. Ganjaran diberi dalam pelbagai kaedah dan bentuk, seperti sokongan penuh untuk kenaikan pangkat, anugerah perkhidmatan cemerlang,  penghargaan, wang, hadiah dan sokongan penuh melanjutkan pelajaran serta lain-lain. Pemberian ganjaran ini, ia akan meningkatkan komitmen staf terhadap tugas masing-masing di organisasi. Sudah tentu kedua-dua pihak samaada pengetua atau staf akan sama-sama berasa berpuashati dan gembira. Keuntungan akan diperolehi oleh kedua-dua belah pihak. Ibarat kata pepatah “ what you give, you get back”.

Kesan kepimpinan politik dan transaksional

Saya melihat kedua-dua kepimpinan ini boleh memajukan organisasi. Hubungan yang baik, saling sokong-menyokong dan memberi pengiktirafan serta penghargaan antara pengetua dan staf dapat memudahkan dan melancarkan segala aktiviti kurikulum, ko kurikulum dan segala perancangan serta agenda yang dirancang oleh pihak atasan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kesannya staf lebih bersemangat dan bermotivasi untuk memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik IKM dan pada masa yang sama juga pengarah memberikan ganjaran yang dijanjikan atau yang diperlukan oleh stafnya.

Walaubagaimanapun setiap kepimpinan pasti membawa keburukan sekiranya terdapat kepincangan dan melibatkan kepentingan peribadi di atas peluang-peluang sumber yang terbentang luas. Politik sebegini menyebabkan berlaku pertelingkahan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakan sekerja. Sebagai contoh, pengetua telah memberi ganjaran yang tidak adil dan bersikap pilih kasih terhadap kroni-kroninya. Kepada staf yang pandai bermuka-muka atau mengampu mendapat ganjaran yang hebat. Manakala staf yang tidak pandai mengampu namun sangat kompeten hanya mendapat ganjaran yang ala kadar dan tidak menetapi apa yang dijanjikan oleh pengetua. Jadi, situasi ini menyebabkan staf memberontak dan mempertikaikan tindakan pengetua. Namun mereka hanya berani memperkatakannya dibelakang pengetua sahaja. Ini kerana pengetua mengugut menjatuhkan kerjaya mereka dengan memberi penilaian yang rendah terhadap prestasi melalui SKT

 Selain itu akibat sering disogok pelbagai ganjaran, ia menyebabkan staf bekerja dengan tidak ikhlas dan sentiasa mengharapkan ganjaran. Bak kata orang “Ada ganjaran, kerja pun jalan”. Mereka tidak mengajar dengan bersungguh-sungguh sekiranya tiada ganjaran yang diberikan. Situasi ini meletakkan staf dan guru sebagai individu yang materialistik dan mementingkan diri sendiri serta tidak memiliki nilai dan integrity yang tinggi.

Cadangan saya, pengetua yang mengamalkan kepimpinan di atas haruslah bijak, berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengurusan konflik antara staf di bawah pimpinannya. Berpolitik dan memberi ganjaran haruslah kena pada tempatnya dan berlaku adil kepada semua staff. Mungkin pengetua boleh bertanya dan meminta pendapat staf mengenai ganjaran yang diingini oleh mereka. Walaubagaimanapun, perkara penting yang perlu ditekankan ialah sebagai penjawat awam khususnya kerjaya sebagai guru, mereka harus bersikap profesionalisme dan berintegriti serta ikhlas dalam melaksanakan tugas. Ganjaran merupakan satu bonus dan penghargaan kepada pekerja namun bukanlah satu kemestian.

No comments:

Post a Comment