Sunday, 21 April 2013

Model Penambahbaikan Tempatan dan Barat

Soalan :
Terdapat pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dalam meningkatkan pembelajaran murid. Salah satunya adalah melalui penambahbaikan pengajaran guru dalam bilik darjah dan penambahbaikan dari segi polisi pendidikan. Sila berikan beberapa model sarjana tempatan dan barat yang telah melaksanakan kajian mereka tentang perkara ini.

Jawapan :

Tempatan & Barat:

1. Model 1 : Hussein/benut

  • peringkat 1: matlamat
  • peringkat 2: Penilaian
  • peringkat 3: Perancangan
  • peringkat 4: Latihan Staf
  • peringkat 5: Percubaan
  • peringkat 6: Transformasi
  • peringkat 7: Budaya baru

2. Model Reid et al., 1987

  • langkah 1 : apa yang perlu kita lihat?
  • langkah 2 : Dimana kita sekarang?
  • langkah 3 : Ke mana hala kita?
  • langkah 4 : Apakah cara untuk mencapai matlamat?
  • langkah 5 : Bagaimana kedudukan kita sekarang?

3. Model Loucks-Horsley dan Herget (1985)

  • langkah 1: Pembentukan projek penambahbaikan
  • langkah 2: Penilaian dan penetapan matlamat
  • langkah 3: Pengenalpastian kaedah penyelesaian yang ide
  • langkah 4: Penyediaan untuk pelaksanaan
  • langkah 5: Pelaksanaan program
  • langkah 6:Penelitian kemajuan dan masalah
  • langkah 7:penyelenggaraan dan institutionalization

4. Model Alma Harris (2002)

  • Respons terhadap perubahan
  • merancang untuk melaksanakan perubahan
  • membangunkan kapasiti dalaman sekolah
  • mendapatkan sokongan daripada pihak2 luar sekolah
  • menjalankan kepemimpinan bersama untuk penambahbaikan sekolah
  • meningkatkan proses pembelajaran yang efektif di bilik darjah
  • meningkatkan proses pengajaran yang berkesan

5. Model : The Intelligent school (MacGilchrist, B.,Myers,K., dan Reed, J (2006)

6. Model Van Velzen, Miles, ekholm, Hameyer dan Robin (1995)

7. Model Hopkins (2001)

8. Pembangunan Iklim Sekolah (ubahsuai dari Model Hussein)

Wednesday, 10 April 2013

10 PRINSIP PENAMBAHBAIKAN KEMAJUAN SEKOLAH

10 Prinsip Penambahbaikan kemajuan sekolah, Hussein Mahmood (2008)
 
Prinsip 1:
• Mempercayai bahawa semua pelajar boleh belajar, diajar dan mencapai kemajuan
 
 
Prinsip 2:
• Mempercayai dan mengakui bahawa sekolah adalah kunci utama kejayaan para pelajarnya.
 
 
Prinsip 3:
• Pembangunan kemajuan sekolah memerlukan falsafah, matlamat, objektif dan dasar sekolah.
 
 
Prinsip 4:
• Pembangunan kemajuan dalam sekolah merupakan usaha mewujudkan satu budaya sekolah yang lebih positif .
 
 
Prinsip 5:
• Kelolaan dan pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah aspek penting untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik sekolah.

 
 Prinsip 6:
• Penyelesaian masalah sekolah harus ditumpukan kepada punca-punca yang menyebabkan timbulnya masalah itu dan bukan kepada gejala-gejalanya

 
Prinsip 7:
• Pembangunan kemajuan sekolah perlu dilakukan atas dasar usaha sama dan bukanlah semata-mata usaha pengetua seorang sahaja
 
 
Prinsip 8:
• Maklumbalas yang berterusan merupakan mekanisme penting pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah.

 
Prinsip 9:
• Mempercayai dan mengakui bahawa ibu bapa dan masyarakat sekitar mempunyai pelbagai kemahiran dan sumber tenaga yang dapat membantu pihak sekolah.

 
Prinsip 10:
• Kemajuan sesebuah sekolah memerlukan pengetua yang mempunyai kepimpinan yang berkesan.
 

Konsep Penambahbaikan Sekolah

Soalan :
"If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not survive if we dont respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa menekan diri sendiri, kita akan mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.

Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?

dan

Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?
Jawapan :

Pada pendapat saya, sekolah mesti berubah mengikut arus perubahan sejagat. Kegagalan sekolah untuk berubah menyebabkan ianya tidak lagi relevan terhadap dengan keadaan sekelilingnya.
Sebagai contoh pada masa kini, peranan dan pengaruh ICT dan internet sangat besar dalam kehidupan kita. Namun dilihat masih terdapat sekolah dan warga yang tidak tahu menggunakan ICT dan internet serta seterusnya tidak menggalakkan pelajar mempelajarinya. Malahan keadaan bertambah lebih teruk apabila guru bertindak menyekat penggunaan internet di sekolah dengan pelbagai alasan yang munasabah dan tidak munasabah. Sedangkan kita telah sedia maklum bahawa kanak-kanak berumur seawal 3 tahun sudah tahu menggunakan internet serta gajet terbaru dipasaran seperti iPad, iPod, Tablet, Note dan telefon pintar.

Selain itu, perubahan perlu dibuat terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran. Bagi menghasilkan kaedah serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, warga sekolah perlukan bersama-sama untuk mewujudkan perkongsian ilmu dengan mengamalkan Profesionalisme Learning Community (PLC). Jika dahulu, guru kurang mengamalkan perkongsian ilmu pengetahuan dan lebih bersikap individualistik. Melalui PLC ini guru baru dan guru berpengalaman bersama-sama mencurahkan idea dan akhirnya akan membentuk satu budaya yang baik di kalangan warganya rentetan dari kejelekitan yang wujud antara mereka.

SEKOLAH BERKESAN :
Mengikut kefahaman saya, sekolah berkesan adalah sekolah yang berjaya meningkatkan prestasi dan pencapaian akademik pelajarnya. Sekolah berkesan juga berjaya membentuk satu iklim dan budaya cemerlang yang sentiasa diamalkan oleh warganya.
Sebelas ciri sekolah berkesan yang dirumus oleh Mortimore ialah:

(a) Kepemimpinan profesional
Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang
menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

(b) Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.

(c) Persekitaran pembelajaran
Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.

(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan
masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

e) Pengajaran yang bertujuan
Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.

f) Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.

(g) Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.


(h) Memantau kemajuan
Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.

(i) Hak dan tanggungjawab pelajar
Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

(j) Hubungan rumah-sekolah
Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.

(k) Organisasi Pembelajaran
Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH :

penambahbaikan sekolah bermaksud usaha-usaha atau amalan yang dilakukana secara berterusan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurang yang wujud dalam sesebuah sekolah dan seterusnya berusaha mempelbagaikan kaedah dan aktiviti serta program bagi mempertingkatkan lagi prestasi dan pencapaian kecemerlangan sekolah dan pelajarnya.

Tuesday, 9 April 2013

Keberkesanan sekolah dari segi perbelanjaan pendidikan bagi seorang pelajar

Soalan :
Bagaimana anda dapat mengukur perbelanjaan yang telah diberikan oleh pihak MARA kepada pelajar-pelajar MRSM?
Adakah perbelanjaan yang diberikan itu telah dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara?

Jawapan :

Perbelanjaan yang diberi dan dilaburkan oleh pihak MARA kepada pelajar terutamanya MRSM adalah sangat besar. Ini dilihat berdasarkan kepada penyediaan kemudahan prasarana yang lengkap, bahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini, elaun, makanan & minuman yang berkhasiat dan kelengkapan asrama yang selesa. Selain itu terdapat juga peruntukan yang besar untuk pelbagai aktiviti dan program yang dirancang di peringkat MRSM dan Ibu pejabat samaada ianya dilaksanakan di dalam atau di luar negara.

Saya berpendapat keselesaan terhadap kemudahan prasarana dan penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini membantu untuk guru dan pelajar melalui proses P& P yang lebih berkualiti dan menyeronokkan. Selain itu makanan dan minuman yang berkhasiat mampu untuk menghasilkan kecerdasan otak dan kesihatan badan yang baik kepada pelajar. Malahan saya juga bersetuju bahawa kepelbagaian aktiviti dan program dilaksanakan di MRSM adalah bagi membangunankan potensi dan kebolehan diri pelajar bagi melahirkan modal insan yang cemerlang dan generasi baru yang berkualiti.

BUDAYA CEMERLANG

Soalan :
Iklim dan budaya sekolah adalah penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Bagaimanakah anda sebagai pemimpin memastikan budaya sekolah cemerlang diamalkan oleh warga sekolah anda?

Jawapan:
Terdapat pelbagai cara untuk membentuk budaya cemerlang. Antaranya adalah menggunakan PLC iaitu komuniti pembelajaran profesional. Melalui PLC semua warga sekolah akan saling bekerjasama dan mengamalkan perkongsian dalam semua perkara termasuklah pembentukan misi, visi, matlamat, bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan aktiviti P&P. Pengemblingan tenaga dan idea dalam PLC menyebabkan kejelekitan yang tinggi di kalangan warga sekolah dan seterusnya mampu untuk membentuk satu budaya kerja yang cemerlang.

Monday, 1 April 2013

Jenis Sekolah Mengikut Keberkesanan dan Peningkatan

Definisi
1) Sekolah Bergerak (Berkesan + Meningkat)

Sekolah bergerak bermaksud sekolah yang mengamalkan budaya sekolah berkesan dan pencapaian kecemerlangan pelajarnya sentiasa meningkat.

2) Sekolah Mengekalkan Prestasi (Berkesan + Merosot)

Sekolah yang mengekalkan prestasi ialah sekolah yang mempunyai budaya sekolah berkesan namun pencapaian kecemerlangan pelajarnya merosot atau tidak berubah.

3) Sekolah Merangkak (Tidak Berkesan + Meningkat)

Sekolah yang tidak mempunyai dan mengamalkan budaya sekolah berkesan namun prestasi sekolah meningkat.

4) Tenggelem ( Tidak Berkesan + Merosot)

Sekolah bukan sahaja tidak mempunyai dan mengamalkan budaya sekolah berkesan, bahkan prestasi dan pencapaian akademik pelajar juga merosot.

PEMIMPIN TRANSFORMASI

Soalan : Mengapa sekolah perlukan pemimpin Transformasi

Jawapan :


Bagi mengukuhkan kecemerlangan sekolah, Pengarah/pengetua selaku pemimpin transformasi haruslah berani membuat perubahan dan penambahbaikan kepada sekolah agar wujud satu budaya yang cemerlang di sekolah masing-masing. Untuk mengikuti arus pendidikan semasa, pengetua harus sentiasa mengamalkan budaya menimba ilmu yang dapat mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai secara berterusan untuk dirinya sendiri dan guru-guru di bawah seliaannya. Pengarah juga perlu merefleksi diri secara rutin atau harian bagi menangani masalah, isu serta cabaran semasa. Pemimpin transformasi yang memiliki keilmuan yang tinggi tentang kurikulum dan pedagogi serta tatacara pembelajaran dengan cara mengetahui proses penyampaian ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran, mampu menterjemah pengoperasian kurikulum, melaksanakan pembangunan staf serta memahami proses pencerapan , penyeliaan dan pengurusan kelas. Implikasinya, pengetua mampu merancang dan melaksanakan idea perubahan serta penambahbaikan yang terbaik terhadap system sekolah bagi menjadikannya sekolah berkesan. Pengetua selaku pemimpin transformasi juga mewujudkan semangat kerja berpasukan dengan setiap keputusan dibuat secara permuafakatan menjadi teras kejayaan bersama.  Bagi memastikan kepimpinan transformasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, maka pengetua harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi dan perhubungan yang baik dan erat dengan semua lapisan warga IKM/sekolah dan komuniti setempat.

Justeru itu Pemimpin Tranformasi sangat penting kerana jatuh bangun sesebuah sekolah atau institusi pendidikan sangat bergantung kepada idea perubahan yang dibawa oleh pemimpin sekolah atau institusi yang berkenaan

Menjadi sekolah berkesan di peringkat daerah, negeri dan negara

Soalan : Anda telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah menengah yang dianggap sebagai sekolah yang bermasalah. Anda diarahkan untuk menyediakan kertas cadangan kepada pegawai PPD tentang apakah perancangan anda dalam membangunkan sekolah ini menjadikan sekolah berkesan melalui pembentukan visi dan misi sekolah yang berteraskan falsafah pendidikan Kebangsaan, matlamat dan misi KPM. Rancang dan huraikan dengan jelas bagaimana anda dapat membantu sekolah tersebut menjadi sekolah berkesan di peringkat daerah, negeri mahu pun negara.

Jawapan :

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh pengetua adalah mengenalpasti kekuatan, kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh guru & pelajar di sekolah. Setelah itu saya sebagai pengetua haruslah cuba untuk mengatasi masalah tersebut. Bagi mencapai status sekolah berkesan ini, saya berpendapat guru merupakan tonggak utama kejayaan. Oleh itu penyeliaan, pemantauan dan penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru adalah perkara yang perlu diberi perhatian.  Terdapat 4 langkah utama bagi melihat keberkesanan P&P guru

1. Merancang
Dalam hal ini, pengetua perlu membuat perancangan dan stratagi bagaimanakah cara untuk melaksanakan amalan-amalan P&P yang berkesan yang boleh menjadi sekolah berkesan. Pengetua bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada semua guru mengenai perancangannya. Satu Jawatankuasa Pemantauan P&P diwujudkan bagi melancarkan proses pelaksanaan dan penilaian. Pengetua juga boleh melibatkan guru-guru dalam merancang dan membuat keputusan bagi menjadikan amalan dan proses P&P lebih bermakna dan berkesan.

2. Melaksanakan
Pengetua  mengeluarkan arahan bertulis pelaksanaan Pemantauan P&P terhadap guru. Pemantauan akan dilakukan di bilik darjah untuk melihat proses P&P dan juga pemantauan terhadap dokumen dan bahan pengajaran. Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemantauan yang terdiri daripada Penolong Pengetua, Ketua Jabatan dan Guru Cemerlang.

3. Penilaian
Jawatankuasa Pemantauan P&P memberikan penilaian kepada setiap guru berdasarkan amalan P&P dan dokumen P&P. Markah penilaian ini adalah bertujuan untuk melihat prestasi setiap guru dan ianya bukanlah untuk menghukum guru tersebut.

4. Penambahbaikan
Guru yang mendapat markah penilaian P&P yang tinggi akan diberikan surat tahniah dan dilantik sebagai guru mentor. Manakala guru yang mendapat markah yang rendah akan dikenalpasti kelemahannya untuk diberikan latihan pembangunan staf bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Guru yang mendapat markah yang rendah juga akan diletakkan dibawah bimbingan seorang guru mentor bagi membantu dan berkongsi idea P&P

Proses Ini akan berterusan sehinggalah semua guru di sekolah itu berubah menjadi guru yang cemerlang dan saling berkongsi amalan terbaik P&P.

Jenis kepemimpinan untuk menjadi sekolah berkesan dan cara melaksanakannya

Soalan : Bolehkah anda nyatakan kepemimpinan jenis apakah yang mampu menjadikan sesebuah sekolah itu boleh menjadi berkesan dan huraikan bagaimanakah kepemimpinan ini melaksanakannya.

Jawapan.
Bagi menjawab persoalan ini, pandangan saya berikan adalah berdasarkan situasi di Institut Kemahiran MARA (IKM).

Saya memilih gabungan di antara Kepemimpinan Pembelajaran dan Kepemimpinan Instruksional. Kepemimpinan pembelajaran menghasilkan pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ke arah melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan seterusnya menjadi sekolah berkesan. Pengarah merupakan pemimpin institut kemahiran MARA. Pengarah boleh dilantik dari kalangan penjawat awam dalam kumpulan perkhidmatan kejuruteraan (gred J) dan kumpulan perkhidmatan ekonomi (gred E). Mereka mempunyai tanggungjawab yang berat iaitu perlu memahami konteks institut kemahiran sebelum melaksanakan perancangan program yang bersesuaian. Setiap institut kemahiran MARA mempunyai sekurang-kurangnya lapan program kemahiran yang ditawarkan. Persekitaran dan suasana di sebuah institut kemahiran adalah berbeza dengan persekitaran dan suasana di sekolah dari segi sumber dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, budaya dan keperluan warganya. Pengarah perlu mempunyai kemahiran instruksional, pengajaran dan pembelajaran yang tinggi supaya dapat memberi bimbingan yang efektif dalam aspek pengajaran kepada guru-guru. Dengan memiliki pengetahuan yang tinggi, dia lebih dihormati dan seterusnya dapat memperbaiki amalan-amalan pengajaran dan pembelajaran di bengkel dan di dalam kelas. Keadaan ini memerlukan pengarah itu mempelajari sistem institut kemahiran berkenaan agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan malahan mampu memberi sumbangan positif berlandaskan amalan kepemimpinannya. Melalui cara ini, pihak institut kemahiran MARA dapat membantu pelajar yang mengikuti program kemahiran dan teknikal mendapat pendidikan yang berkualiti.

Kajian-kajian dari dalam dan luar negara menunjukkan terdapat hubungan antara kepimpinan pembelajaran dengan keberkesanan sekolah di mana pengarah atau pengetua yang banyak memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran akan dapat meningkatkaan pencapaian akademik pelajar dan merangsang budaya positif di sekolah. Secara umumnya, kepimpinan instruksional dan pembelajaran adalah tanggungjawab paling utama yang perlu dilaksanakan oleh pengetua (Wood, 1974, Sergiovanni, 1990, Mortimore, 1995, Shahril 1997, Sukri Abdullah, 1998 dan Avheson & Smith, 2006).  Penyelidik-penyelidik ini mengatakan bahawa kepimpinan instruksional dan pembelajaran adalah berkaitan dengan proses kesinambungan pengajaran antara guru, pelajar dan kurikulum. Kepimpinan Instruksional perlu menangani perkara berkaitan guru iaitu pemantauan, penyeliaan, penyelarasan, penilaian, perkembangan pembangunan professional dan latihan dalam perkhidmatan. Manakala Kepimpinan Pembelajaran pula berkaitan kurikulum, perlu melihat pemilihan bahan pengajaran dan pembelajaran serta kepelbagaian latihan dalam skop dan susun aturnya.

Kepemimpinan Pembelajaran boleh dianggap sebagai segala tindakan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh seseorang pemimpin IKM, MRSM dan sekolah bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikannya. Seorang pemimpin sekolah harus mempunyai satu hala tuju untuk mencapai matlamat melalui apa jua kaedah dan usaha yang boleh dilakukan bagi menjayakan matlamat tersebut

Oleh itu, kepemimpinan pembelajaran yang cemerlang amat penting dalam hasrat mewujudkan budaya kepimpinan profesional. Budaya ini perlu ada dalam organisasi yang menerajui pendidikan teknikal dan vokasional untuk melahirkan modal insan yang kompeten, berinovasi, bersahsiah terpuji dan berdaya saing dalam membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian yang berminda kelas pertama.

 

Friday, 22 March 2013

Quality Learning (Value diversity) Membentuk Sekolah Berkesan


Adakah semua pengetua/guru mempunyai kepelbagaian nilai dalam melaksanakan tangunggjawab mereka di sekolah? Saya pasti jawapannya adalah sama sekali tidak ada. Manusia mempunyai pelbagai sikap, persepsi dan juga nila. Ada pengarah dan guru yang sentiasa positif dalam semua aspek, ada yang bercampur-campur diantara sikap positif dan negatif. Bahkan terdapat juga guru yang sentiasa bersikap dan berpandangan negatif dan suka menentang apa sahaja pembaharuan yang ingin dilaksanakan di sekolah.

Sekolah adalah tempat menimba ilmu pengetahuan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengarah dan guru sebagai insan yang menyampaikan ilmu pengetahuan, mereka seharusnya sentiasa mengamalkan ciri-ciri kepelbagaian nilai. Diantaranya kepelbagaian nilai yang mesti diamalkan oleh warga pendidik ialah

 1.         Hormat-menghormati antara guru sesama guru dan antara guru dengan pelajar
2.         Boleh menerima cadangan secara terbuka dan terhormat. Sama ada dari
pihak pengurusan, guru dan pelajar.
3.         Boleh menerima dan berhubung dengan idea orang lain.
4.         Boleh menerima sesuatu perkara tanpa ada sebarang syarat.
5.         Boleh mengambil kira semua benda.
6.         Menerima semua yang ada disekeliling kita.
7.         Hendaklah sentiasa menghargai individu lain termasuk pelajar.
8.         Mengadakan perkongsian kepercayaan dan pengalaman dengan orang
lain.
9.         Membangunkan sikap bertolak ansur dalam setiap pendekatan.



Saya pasti apabila guru mengamalkan amalan di atas dengan ikhlas dan jujur, kita mampu menjadi pendidik yang berkualiti, disenangi ramai dan diberkati Allah.

Bagaimana pengetua memimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadi sekolah berkesan


Dengan mengandaikan sekolah ini adalah kepunyaan sendiri. Segala dana dan perbelanjaan termasuk pembayaran gaji guru dan kakitangan juga dibiayai oleh saya sendiri.
 
Dalam situasi ini saya berasakan Kepimpinan Agihan (Distributed Leadership) adalah yang paling sesuai. Kepimpinan ini merupakan satu kepimpinan permuafakatan dan berkongsi kuasa serta mempercayai antara satu sama lain. Kepimpinan ini dapat melahirkan ramai individu yang professional dan pakar dalam bidang masing-masing serta penuh integriti dalam melaksanakan tugas. Guru yang hebat akan menghasilkan pelajar yang juga hebat serta membentuk sekolah berkesan.
 
Umumnya, kita mengetahui bahawa untuk mencapai kecemerlangan di mana-mana institusi pendidikan atau sekolah, seseorang pemimpin tidak mampu bekerja secara bersendirian. Selaku Pengetua penerapan kepimpina Agihan di dalam sekolah diharap dapat memudahkan dan melancarkan lagi urusan pentadbiran dan kewangan sekolah. Fayol (1949) menyenaraikan beberapa aspek pengurusan utama iaitu perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan dan pengawalan.
Kuasa membuat keputusan diagihkan dan dikongsi bersama diantara pengetua, timbalan pengetua, ketua jabatan, ketua program dan ketua unit. Mereka ini dipertanggungjawabkan menguruskan hal-hal yang berkaitan kurikulum dalam bidang kuasa masing-masing dan mempunyai beberapa staf seliaan dibawahnya.
Selain itu pengetua yang memberi kepercayaan kepada staf terhadap tugas yang diberi dengan membuat penyeliaan, penyelarasan, pengawalan dan penilaian bagi membolehkan penambaikan dibuat untuk mencapai tahap sekolah berkesan. Staf yang berintegriti dan beretika tinggi akan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Hasil dari kepimpinan ini juga ia dapat melahirkan staf yang pakar dalam bidang masing-masing serta dapat membuat keputusan yang baik untuk sekolah
 
Bagi pihak saya sebagai Pengetua, saya tidak boleh mengawal setiap keputusan yang dibuat mengikut kehendak sendiri. Pengetua harus memimpin dan menerima keputusan mereka selagi ianya tidak menyalahi polisi dan dasar sekolah dan diyakini boleh membawa kebaikan kepada sekolah saya.
 
 

Thursday, 14 March 2013

Institusi pendidikan (sekolah) berkesan


Memang benar pelajar IKM adalah pelajar yang lemah dari sudut akademiknya. Namun kebanyakan mereka sangat mulia dari sudut sikap dan tingkah laku. Mengajar mereka di dalam kelas memerlukan kesabaran yang tinggi. Kesabaran yang tinggi dalam menerangkan sesuatu topic pengajaran agar mereka benar-benar faham. Mereka ini kebanyakan adalah pelajar yang mendengar kata. Keadaan ini berbeza ketika mereka berada di bangku sekolah. Seringkali mereka mengakui mereka merupaka pelajar nakal dan bermasalah di sekolah, namun usia telah mematangkan mereka. Guru tidak perlu memaksa mereka untuk melaksanakan tugasan yang diberi. Cukup dengan arahan yang jelas, mereka akan melaksanakan tugasan atau projek dengan sebaiknya. Begitu juga sekiranya guru meminta pertolongan, mereka sentiasa menunjukkan sikap ringan tulang dan membantu dengan bersungguh-sungguh. Pernah satu ketika, pihak IKM menjemput seorang guru dari Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar. Guru tersebut(penceramah) sungguh terkejut dengan sikap pelajar ikm di mana pelajar datang ke dewan secara teratur dan segera apabila mendengar pengumuman yang meminta mereka hadir ke dewan. Malahan tiada seorang guru pun yang menjerit atau mengarah-mengarah pelajar. Pelajar juga tidak membuat bising di dalam dewan. Guru Pencemarah ini menyatakan situasi ini sangat berbeza di sekolah, di mana guru terpaksa mengawal pergerakan pelajar. Penceramah juga menyataka bahawa selama ini beliau menganggap bahawa pelajar IKM adalah pelajar yang bermasalah. Kejadian pada hari tersebut telah mengubah persepsinya terhadap IKM. Namun saya tidak nafikan masih terdapat pelajar yang mempunyai masalah disiplin, walaubagaimanapun bilangannya mungkin lebih sedikit jika dibandingkan dengan Sekolah Menengah Harian. Boleh dikatakan bahawa menguruskan pelajar IKM adalah jauh lebih mudah dari menguruskan pelajar remaja di sekolah menengah. Seperti yang telah dikata bahawa usia mematangkan kita. Pelajar yang dulu nakal telah berubah menjadi lebih berbudi bahasa dan sedang berusaha untuk memajukan diri sendiri.

Sesungguhnya ramai pelajar IKM di luar sana telah Berjaya dengan mengusahakan perniagaan dan ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan. Cuma perjalanan menuntut ilmu mereka lebih panjang berbeza dengan pelajar MRSM yang lebih cepat menamatkan pelajaran mereka. walaubagaimanapun panjang atau pendek perjalanan menuntut ilmu itu, apa yang lebih penting adalah menjadi modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Jadi boleh disimpulkan bahawa IKM juga merupakan sekolah berkesan kerana pelajar yang memohon untuk kemasukan ke IKM adalah merupakan pelajar yang lemah pada peringkat menengah, namun apabila telah menamatkan pengajian di IKM mereka berjaya menempatkan diri institusi pengajian tinggi dan malahan ada yang berjaya menjadi usahawan.

Monday, 11 March 2013

TAK KENAL MAKA TAK CINTA


MENGENALI PELAJAR IKM.

 emm entry kali ini kita lari dari kepimpinan sekejap yek... meh kita kenal pelajar IKM

Di kalangan guru-guru terutama di MARA, apabila disebut bertugas di IKM pelbagai persepsi muncul di minda masing-masing. Kebanyakan persepsi tersebut adalah negatif. Sering kedengaran rakan-rakan yang mengajar di MRSM, KM atau KPM bertanya “ hiss tak bestnya, mengajar di IKM sebab pelajar tidak pandai “ dan ada juga yang bertanya “ tension tak mengajar pelajar yang nakal? Mesti mereka mempunyai masalah disiplin yang teruk”. Apabila berhadapaan dengan guru yang bermentaliti sebegini, saya hanya tersenyum dan menjawab bahawa mereka pelajar IKM tidaklah seteruk yang anda bayangkan. Walaubagaimanapun saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka tidak pernah mengajar di IKM. Pandangan dan persepsi pasti berbeza apabila seseorang guru itu pernah mempunyai pengalaman mengajar di Institut Pendidikan MARA yang berlainan, contohnya guru terlebih dahulu mengajar di MRSM sebelum ditukarkan ke IKM dan begitu juga sebaliknya.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman mengenai pelajar IKM yang rata-rata rakan-rakan dalam kelas ini tidak ketahuinya. Seperti sedia maklum pelajar IKM terdiri dari warganegara yang berumur 18 tahun ke atas. Mungkin ramai beranggapan semua pelajar adalah berusia 18 hingga 20 tahun. Anggapan ini adalah salah. Sebenarnya IKM menerima pelajar yang berusia 18- 40 tahun. Terdapat pelbagai lingkurang umur dan status perkahwinan di dalam kelas peringkat sijil ini. Malahan kakitangan kerajaan terutamanya dari pasukan angkatan tentera, polis, bomba dan penjara turut mengikuti program yang diadakan di IKM. Ia bertujuan untuk memberi pengalaman dan menambah pengetahuan kepada penjawat awam bagi persediaan setelah berpencen kelak. Kakitangan kerajaan ini majoritinya berumur melebihi 35 tahun dan sudah berkeluarga. Di sini kami sebagai guru perlu mahir dalam komunikasi kerana pelajar yang berada di hadapan kami ini bukan sahaja remaja yang terdiri daripada pelajar lemah pencapaian akademik di zaman sekolahnya tetapi juga kaum bapa dan kaum ibu yang turut serta menimba ilmu. Bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, guru IKM bukan sahaja perlu mendidik remaja tetapi juga perlu mengajar orang dewasa yang usianya melebihi umur guru itu sendiri. Di sini lah terletaknya kemahiran dan pengetahuan sebenar guru IKM. Semua pengalaman ini menjadi saya sebagai guru IKM lebih matang dan bijak dalam menangani sebarang urusan berkaitan pengurusan pelajar serta teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran bagi menghadapi pelajar yang ‘gifted’.

Sunday, 3 March 2013

Kepimpinan Transaksional dan Politik


Kepimpinan politik dan transaksional adalah berkait rapat. Kepimpinan transaksional adalah sebagai proses pertukaran antara kualiti kerja dengan ganjaran. Manakala kepimpinan politik adalah proses saling pengaruh dan mempengaruhi antara pemimpin dan pengikut untuk mencapai matlamat organisasi. Pertukaran atau ganjaran  ini adalah merupakan salah satu strategi politik kepada pengetua sebagai pemimpin serta guru-guru dan para pelajar. Kepimpinan traksaksional atau dipanggil juga kepimpinan ganjaran ini biasanya digunakan oleh pengetua.

Saya agak bersetuju dengan gaya kepimpinan politik dan transaksional ini. Pengetua mempengaruhi staf dengan memberi ganjaran apabila mereka melaksanakan apa yang diarahkan bagi mencapai matlamat organisasi IKM KL. Ganjaran yang ditawarkan adalah menarik dan sangat diperlukan oleh staff.‘Pertukaran’ ini memberi manfaat dan faedah kepada kedua-dua pihak samaada pengetua  mahupun staf. Ganjaran diberi dalam pelbagai kaedah dan bentuk, seperti sokongan penuh untuk kenaikan pangkat, anugerah perkhidmatan cemerlang,  penghargaan, wang, hadiah dan sokongan penuh melanjutkan pelajaran serta lain-lain. Pemberian ganjaran ini, ia akan meningkatkan komitmen staf terhadap tugas masing-masing di organisasi. Sudah tentu kedua-dua pihak samaada pengetua atau staf akan sama-sama berasa berpuashati dan gembira. Keuntungan akan diperolehi oleh kedua-dua belah pihak. Ibarat kata pepatah “ what you give, you get back”.

Kesan kepimpinan politik dan transaksional

Saya melihat kedua-dua kepimpinan ini boleh memajukan organisasi. Hubungan yang baik, saling sokong-menyokong dan memberi pengiktirafan serta penghargaan antara pengetua dan staf dapat memudahkan dan melancarkan segala aktiviti kurikulum, ko kurikulum dan segala perancangan serta agenda yang dirancang oleh pihak atasan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kesannya staf lebih bersemangat dan bermotivasi untuk memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik IKM dan pada masa yang sama juga pengarah memberikan ganjaran yang dijanjikan atau yang diperlukan oleh stafnya.

Walaubagaimanapun setiap kepimpinan pasti membawa keburukan sekiranya terdapat kepincangan dan melibatkan kepentingan peribadi di atas peluang-peluang sumber yang terbentang luas. Politik sebegini menyebabkan berlaku pertelingkahan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakan sekerja. Sebagai contoh, pengetua telah memberi ganjaran yang tidak adil dan bersikap pilih kasih terhadap kroni-kroninya. Kepada staf yang pandai bermuka-muka atau mengampu mendapat ganjaran yang hebat. Manakala staf yang tidak pandai mengampu namun sangat kompeten hanya mendapat ganjaran yang ala kadar dan tidak menetapi apa yang dijanjikan oleh pengetua. Jadi, situasi ini menyebabkan staf memberontak dan mempertikaikan tindakan pengetua. Namun mereka hanya berani memperkatakannya dibelakang pengetua sahaja. Ini kerana pengetua mengugut menjatuhkan kerjaya mereka dengan memberi penilaian yang rendah terhadap prestasi melalui SKT

 Selain itu akibat sering disogok pelbagai ganjaran, ia menyebabkan staf bekerja dengan tidak ikhlas dan sentiasa mengharapkan ganjaran. Bak kata orang “Ada ganjaran, kerja pun jalan”. Mereka tidak mengajar dengan bersungguh-sungguh sekiranya tiada ganjaran yang diberikan. Situasi ini meletakkan staf dan guru sebagai individu yang materialistik dan mementingkan diri sendiri serta tidak memiliki nilai dan integrity yang tinggi.

Cadangan saya, pengetua yang mengamalkan kepimpinan di atas haruslah bijak, berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengurusan konflik antara staf di bawah pimpinannya. Berpolitik dan memberi ganjaran haruslah kena pada tempatnya dan berlaku adil kepada semua staff. Mungkin pengetua boleh bertanya dan meminta pendapat staf mengenai ganjaran yang diingini oleh mereka. Walaubagaimanapun, perkara penting yang perlu ditekankan ialah sebagai penjawat awam khususnya kerjaya sebagai guru, mereka harus bersikap profesionalisme dan berintegriti serta ikhlas dalam melaksanakan tugas. Ganjaran merupakan satu bonus dan penghargaan kepada pekerja namun bukanlah satu kemestian.

Wednesday, 27 February 2013

Gaya dan Orientasi Kepimpinan

Gaya Kepimpinan pengetua/pengarah sangat mempengaruhi dalam usaha melaksanakan penambahbaikan sekolah.
 
Terdapat pelbagai gaya dan orientasi kepimpinan yang boleh diamalkan oleh pengetua. Antaranya adalah :
 
1.   Kepimpinan Autokratik
 
2.   Kepimpinan Demokratik
 
3.   Kepimpinan Laissez-Faire
 
4.   Kepimpinan Tranformasi (Transformational Leadership)
 
5.   Kepimpinan Karisma (Charismatic Leadership)
 
6.   Kepimpinan Transaksional (Transactional Leadership)
 
7.   Kepimpinan Agihan ( Distributed Leadership)
 
8.   Kepimpinan Instruksional (Instructional Leadership)
 
9.   Kepimpinan Pembelajaran ( Leadership for Learning)
 
10. Kepimpinan Penyertaan (Participative Leadership)
 
11. Kepimpinan Sokongan dan Motivasi ( Supportive Leadership)
 
 
Pengarah/pengetua sebagai pemimpin di organisasi perlu memahami gaya kepimpinan ini kerana :
 
Pertama :  
Mereka bertanggungjawab terhadap peningkatan dan kemerosotan prestasi pencapaian organisasinya.
 
Kedua :
Menangani perkara berkaitan kecekapan pengurusan dan keberkesanan sekolah.
 
Ketiga :
Meningkatkan motivasi dan kecekapan dalam kerjaya kepada guru.
 
Keempat :
Memberi kepuasan kerja kepada guru, di mana implikasinya adalah guru memberi komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan rancangan atau pelan penambahbaikan sekolah.

*Untuk entry yang akan datang, saya akan mencoretkan gaya kepimpinan di atas dari sudut perspektif yang berlaku di IKM.

Sekian...

Saturday, 23 February 2013

Salam Perkenalan

Assalamualaikum....

Salam perkenalan dari saya.

Memiliki blog sendiri!!!... wah..bagaikan bermimpi pula..

Apabila kami pelajar sarjana kepengetuaan diminta oleh pensyarah Dr. Zuraidah untuk mewujudkan blog bagi kursus YXGA 6112, perkara pertama yang bermain diminda saya "apa yang aku nak tulis dalam blog tu nanti, dah la tak pandai mengarang". arrgghh.. fikiran berkecamuk...

Memang seronok membaca catatan dan nukilan di blog orang lain namun untuk mencipta dan menulis nukilan di blog sendiri bukan sesuatu yang mudah dan sungguh mencabar diri ini. Maklumlah sebagai guru matematik, selama ini hanya bermain dengan nombor sahaja. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya malahan ianya bagaikan pendorong untuk lebih berusaha dan berazam melaksanakannya dengan sebaik-baiknya.

Semoga apa yang akan dipaparkan di sini dapat dikongsikan bersama rakan-rakan dan memberi manafaat kepada kita semua serta diberkati Allah.