"If
you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself
be boiled to death. We too, will not survive if we dont respond to the radical
way in which the world is changing" Charles Handy...
Pernyataan
ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang
berlaku yang sentiasa menekan diri sendiri, kita akan mati. Ini menggambarkan
keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.
Soalannya
apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? Adakah
sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin
sekolah?
dan
Apakah yang anda
faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?
Jawapan :Pada pendapat saya, sekolah mesti berubah mengikut arus perubahan sejagat. Kegagalan sekolah untuk berubah menyebabkan ianya tidak lagi relevan terhadap dengan keadaan sekelilingnya.
Sebagai contoh pada masa kini, peranan dan pengaruh ICT dan internet sangat besar dalam kehidupan kita. Namun dilihat masih terdapat sekolah dan warga yang tidak tahu menggunakan ICT dan internet serta seterusnya tidak menggalakkan pelajar mempelajarinya. Malahan keadaan bertambah lebih teruk apabila guru bertindak menyekat penggunaan internet di sekolah dengan pelbagai alasan yang munasabah dan tidak munasabah. Sedangkan kita telah sedia maklum bahawa kanak-kanak berumur seawal 3 tahun sudah tahu menggunakan internet serta gajet terbaru dipasaran seperti iPad, iPod, Tablet, Note dan telefon pintar.
Selain itu, perubahan perlu dibuat terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran. Bagi menghasilkan kaedah serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, warga sekolah perlukan bersama-sama untuk mewujudkan perkongsian ilmu dengan mengamalkan Profesionalisme Learning Community (PLC). Jika dahulu, guru kurang mengamalkan perkongsian ilmu pengetahuan dan lebih bersikap individualistik. Melalui PLC ini guru baru dan guru berpengalaman bersama-sama mencurahkan idea dan akhirnya akan membentuk satu budaya yang baik di kalangan warganya rentetan dari kejelekitan yang wujud antara mereka.
SEKOLAH BERKESAN :
Mengikut kefahaman saya, sekolah berkesan adalah sekolah yang berjaya meningkatkan prestasi dan pencapaian akademik pelajarnya. Sekolah berkesan juga berjaya membentuk satu iklim dan budaya cemerlang yang sentiasa diamalkan oleh warganya.
Sebelas ciri sekolah berkesan yang dirumus oleh Mortimore ialah:
(a) Kepemimpinan profesional
Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang
menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
(b) Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.
(c) Persekitaran pembelajaran
Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.
(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan
masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.
e) Pengajaran yang bertujuan
Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.
f) Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.
(g) Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.
(h) Memantau kemajuan
Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.
(i) Hak dan tanggungjawab pelajar
Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.
(j) Hubungan rumah-sekolah
Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.
(k) Organisasi Pembelajaran
Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.
PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH :
penambahbaikan sekolah bermaksud usaha-usaha atau amalan yang dilakukana secara berterusan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurang yang wujud dalam sesebuah sekolah dan seterusnya berusaha mempelbagaikan kaedah dan aktiviti serta program bagi mempertingkatkan lagi prestasi dan pencapaian kecemerlangan sekolah dan pelajarnya.
No comments:
Post a Comment